Sunday 14 April 2013

Pendidikan Anak-anak

Akid in 2003 @Alam Damai Cheras (gambar hiasan semata)

Antara Hadis Rasulullah SAW Dalam Pendidikan Anak-anak

Sabda Nabi SAW: "Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, lalu kedua orangtuanya yang menjadikan ia Yahudi, Nasrani atau Majusi"
(HR: Bahaqi)

Seorang datang kepada Nabi SAW dan bertanya: "Ya Rasulullah, apa hak anakku ini?" Nabi menjawab: "Memberinya nama yang baik, mendidik adab yang baik dan memberinya kedudukan yang baik (dalam hatimu)
(HR: Aththusi)

Anak-anak adalah amanah dari Allah SWT dan ianya sebahagian dari ujianNYA kepada kita hamba-hambaNYA. Orang yang malang adalah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat. 

Sabda Nabi SAW: "Apabila manusia mati maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara: Sedekah Jariah, Ilmu Bermanfaat atau Anak Soleh yang mendoakannya."
(HR: Muslim, dari Abu Hurairah) 




Artikel dibawah ini telah dikongsi oleh rakan di facebook. Ianya merupakan salah satu daripada beberapa tulisan lain yang juga berkisar tentang kesilapan ibu-bapa dalam mendidik anak-anak. Saya kongsikannya (dengan sedikit tambahan kepada points) didalam blog supaya senang dirujuk, lebih untuk peringatan diri sendiri dan moga dapat memberi manfaat kepada sesiapa yang membaca juga. In shaa Allah.


15 KESILAPAN IBU-BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK


1. Kurang berdoa 


~ Semasa mengandung
-  Saidul (penghulu) Istigfar.
-  Doa memohon rahmat (Surah Ali 'Imran, 3:8-9)
-  Doa memohon zuriat yang baik (Surah Ali 'Imran, 3:38)
-  Doa agar anak mengerjakan solat (Surah Ibrahim, 14:40-41)

~ Semasa membesarkan anak
-  Doa anak patuhi Allah SWT (Surah Al-Baqarah, 2:128)
-  Doa diberi zuriat penyejuk hati (Surah Al-Furqan, 25:74)
-  Berdoa supaya nama anak membawa kepada kebaikan kepadanya.


2. Jurang komunikasi dengan anak 
-  berkomunikasi dengan anak dengan menggunakan bahasa yang tidak betul.
-  tidak berminat melayan pertanyaan atau kemusykilan anak.
-  tidak memberi perhatian kepada buah fikiran anak.
-  tidak menghargai kerja atau maraikan kejayaan anak.
-  suka berleter sekiranya anak melakukan kesilapan.
-  Jika berjanji, tidak ditunaikan.

3. Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti menakutkan anak-anak dengan sekolah, tempat gelap, hutan rimba atau bukit bukau. Menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur.

4. Tidak tegas dalam mendidik anak-anak 
Tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak, terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.

5. Menegur anak secara negatif seperti mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah). Membandingkan anak dengan anak-anak lain atau dengan anak orang lain.

6. Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spritual) dan minda (Intelectual). Ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani.

7. Kurang memberi sentuhan kepada anak-anak sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka.

Diriwayatkan oleh Aisyah r.a.: Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussein bin Ali r.a. Ketika itu Ara' bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra': "Ya Rasulullah, Aku mempunyai sepuluh anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka". Rasulullah melihat kepada Aqra' kemudian berkata: "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi" (HR: Bukhari dan Muslim).

8. Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas
Ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh atau seksi dihadapan anak-anaknya. 

9. Susunan rumahtangga yang tidak kemas
Suasana rumah yang tidak tersusun juga mengakibatkan anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh.

10. Kurang menghidupkan sunnah di rumah seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkan menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi.

11. Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang seperti para ulama' dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam.

12. Bertengkar di depan anak-anak. Ini menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya.

13. Membenarkan orang yang tidak elok sahsiahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri atau sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang masih membesar.

14. Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV, video ataupun internet. Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.

15. Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak. Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.